Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak merupakan pengasas Silat Gayong Malaysia.
Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al–Attas. Hasil
perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah,
mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul
Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara
perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin,
Putih dan Hendon
Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah
ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di
Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris
Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh
sehingga tahun 1936.
Pendidikan silat
Beliau menuntut ilmu persilatan
dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas
ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Syed Zainal bin Syed Idris al –
Attas, merupakan hulubalang negeri Pahang yang terkenal ketika itu
kerana memiliki ramai pahlawan. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas,
hidup sezaman dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil
beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa
Melayu dari nendanya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani
latihan intensif setiap hari siang dan malam berbeza dengan rakan –
rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja
seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau.
Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering
berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah.
Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika
itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.
Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama
kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya
yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan
di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan
pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua
Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah sama – sama
berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di
Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan
dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan
Abdul Hamid Halim Syah.
Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya
Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang,
Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat
sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak
Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui
di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa
beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Ketika tiba di rumah Pak Choh di
Mee Nam, beliau mandi di sungai di kawasan tersebut. Beliau mendakwa
bahawa suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman
kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau.
Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai
Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah
taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan
pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.
Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman
tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul
Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang
bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan
di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula
mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit
Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul
Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan
dijadikan anak angkat baginda.[perlu rujukan] Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.
Berhijrah ke Singapura
Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin
bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana.
Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base
sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah
ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan
pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah
malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang
mekanik di jabatan yang sama.
Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong
di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai
jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia
merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas
tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga
tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan
November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak
sepupunya, Paridah bte Yusope.
Semasa pendudukan Jepun
Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong.
Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah
mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Di Pulau
Sudong, Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih 7 orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman bekerja
sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah
berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut
hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga
semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu
dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura.
Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh
penduduk Pulau Sudong di sana.
Meor Abdul Rahman juga telah menyebarkan Silat Seni Gayong untuk menangani ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia.
Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai
penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.
Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai
pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan
untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan
semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur
maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin
Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan
di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan
Siasatan Jenayah.
Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk
mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar
pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai
seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor
Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat
keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.
Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan.
Dalam majlis Perdana Gayong pertama yang telah dianjurkan di Stadium
Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru
Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah,
Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni
Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.
Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai
perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan
tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap
perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969,
YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat
Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning,
Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat
Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed
Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah,
Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai
kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.
Berpindah ke Perak
Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak. Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’
Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM
Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada
agama, bangsa dan negara.
Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed
Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di
sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia,
mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam
pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran
dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee.
Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al
– Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan
mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al –
Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama
berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima
perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan
Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb
September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari
Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun
sehinggalah tahun 1982.
Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi
Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh
Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah
berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh
Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet
negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah
pimpinan Tun Abdul Razak
bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat
Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi
pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni
Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh
negara.
Tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyahut cabaran
pengasas/sifu Jeet Kune Do iaitu Bruce Lee untuk bertarung. Dato' Meor
Abdul Rahman tewas lalu melakukan suatu pukulan kuat yang diberi nama
“Kipas Senandung” dari Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyebabkan Bruce
Lee melayang dan rebah. Bruce Lee meninggal beberapa hari selepas
pertarungan tersebut.Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar
senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning
dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing –
masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan
berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam
setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat
akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid –
murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru
menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia
amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang
amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga
segala amanah beliau.
Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke
rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan
anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Fadzilah (waris
tunggal) di Hospital Pakar, Ipoh, Perak.
Bertemu Mat Kilau
Semasa Pahlawan Mat Kilau mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Datuk Meor dan angakatanya telah "turun" ke Pulau Tawar untuk bertemu
dengan pahlawan tersebut. Menurut ceritanya, Datuk Meor bertanyakan samada gayung yang dibawanya
adalah sealiran dengan ilmu persilatan Mat Kilau. Mendengarkan hal
tersebut, Mat Kilau mengakui ia adalah sama dengan ilmu yang dimilikinya
Sumber : sini
No comments:
Post a Comment