Thursday 9 February 2012

CIKGU JANTAN ANAK BAHAMAN


Mat Lela (meninggal pada usia 137 thn pada 1998) dan Mat Husin (Cikgu Jantan) berkain.

Pada 1837, Tuanku Imam Noh iaitu Orang Besar Bengkinang,Kampar Kanan,Sumatera telah membawa diri ke Tanah Melayu kerana konflik dengan beberapa Orang Besar disitu.Tuanku Imam Noh menuju ke Pahang melalui Linggi,Pedas,Kuala Pilah,Sri Menanti dan Jelebu hingga ke Sungai Semantan. Di Kampung Rantau Panjang, Tuanku Imam Noh diperkenalkan kepada Tok Setia Perkasa Semantan Abdul Rahman. Diberikan anak nya Rokiah sebagai isteri Tuanku Imam Noh kerana berkenan dengan tingkahlaku. Tok Setia adalah anak Monjok,Orang Besar Bugis dari Selebes yang berhijrah ke Tanah Melayu kerana tekanan Belanda.

Isteri Tuanku Imam Noh, Rokiah atau lebih dikenali Tok Rik telah didatangi mimpi yang memberi alamat anak nya Bahaman adalah bertuah dan perlu diserahkan kepada Sultan.

Datuk Bahaman
Ketika berusia 9 tahun, Bahaman diserahkan kepada Bendahari Ali (1806-1847) untuk tinggal di istana. Bahaman bersahabat karib dengan Putera Sultan, Wan Ahmad yang dua tahun lebih tua. Melihat kedua-dua begitu akrab, Bendahara Ali telah meludah dalam mulut Wan Ahmad dan memerintah nya supaya jangan bercerai dengan Bahaman. Bendahara Ali menghantar Bahaman mempelajari ilmu dunia dan akhirat. Bahaman bertapa di Bukit Bongkok,Hulu Teris,Jambu Rias,Bukit Hulu Sungai Jeralis dan Semantan untuk menuntut ilmu Pendekar. Cerita lisan turun temurun yang masyhur tentang Bahaman ialah beliau dapat mengerat keting gajah.

Bahaman dijodohkan oleh Wan Ahmad dengan Cik Mukut,anak Cina Taicu yang menjadi anak angkat Bendahara Ali. Bersama Cik Mukut beliau mendapat 4 orang anak, Tok Muda Idrus, Tok Muda Mat Lela, Siti Hajar dan Matebah. Bersama isteri ke 2, Cik Nik,ada 4 anak,Yang Saadiah,Muhammad,Teh dan Awang Ahmad. Dengan isteri ke 4,Cik Baiyah mendapat Bai'ah, Cik Awang Perang dan Saidah. Isteri ke 5,Yang Burdah anak Tok Setia Lela Kerdau,dikurniakan anak bernama Jantan.. Isteri ke 6, Yang Chik Aman dari Permatang Pasir,Klang iaitu hadiah daripada Tengku Kudin sebagai membalas jasa Bahaman dalam Perang Kelang.

Cikgu Jantan bersama bondanya di sembunyikan dihutan semasa perang Semantan.Semasa muda beliau pernah mudik ke Hulu Tembeling pada 1916 untuk berguru. Walaupun ilmu telah banyak didada tetapi pencarian ilmu amat dititikberatkan. Pernah menuntut Seni Silat Sendeng 2 Beradik. Silat ini bermula dari Paya Kumbuh, Minangkabau yang dikembangkan oleh 2 beradik, Guru Amat dan Guru Che Soh. Guru Amat datang ke Tanah Melayu pada 1891 dan terus menuju ke Kuala Tembeling. Silat ini di wariskan pula kepada Guru Wan Chik.

Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bersama anak nya Wan Chik dan cucu.

Cikgu Jantan membuka bangsal sendiri di Kampung Paya Jejawi,Bukit Pinang,Kerdau. Secara misteri Cikgu Jantan pernah hilang/ghaib. Ketika berita kehilangan itu tersebar, ada khabar angin mengatakan beliau telah mati dibunuh Bintang Tiga. Ada juga yang menyatakan menemui nya di Trengganu dan ada yang pernah melihat kelibat nya di bumi Pahang sendiri.


Cikgu Jantan selalu nya mengulangi kata-kata ini apabila diajukan soalan:"Dengan Nur Allah Nur Muhammad,tajalli kepada Adam maka bersifatlah Adam,Dia semulajadi dahh!". Dikatakan badan beliau keras. Ilmu nya masa sesak baru datang,kalau saja-saja nak tunjuk,tak menjadi.

Cikgu Jantan hilang/ghaib beberapa kali.Kali terakhir beliau ditemui di Kampung Durian Tawar bersama seorang lelaki tua. Apabila ditanya siapa gerangan lelaki tua itu,jawap nya lelaki tua itu orang tua Jawa. Tetapi yang sebenarnya itu adalah ayah beliau Datuk Bahaman.

Sumber : sini 

Cikgu Zulhisham Bin Abdul Latif





Berita dari http://www.silatcekak.org.my

13 April 2011, Rawang - Zulhisham Bin Abdul Latif, Ketua Pusat Latihan Kuang telah meninggal dunia akibat kemalangan maut. Motorsikal yang beliau tunggang telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM 439.3 berdekatan Hentian Rawang jam 8.00 pagi semasa dalam perjalanan dari Bukit Beruntung.
 
Sumber :  sini

Haji Abdul Mulok bin Sutan Idham

Putera Panglima Lidah Hitam adalah Panglima Alang Laut dan melahirkan Sutan Idham @ Ibrahim. Sutan Idham pula melahirkan Tuan Haji Abdul Mulok yang telah berhijrah ke Cangkat Larang Batu Gajah Perak dan menetap disana sehingga ke akhir hayatnya. Baginda adalah Pengasas Pancaindera Seni Silat Lintau Malaysia.

Haji Abdul Mulok bin Sutan Idham dilahirkan di Padang Periman pada tahun 1903. pada tahun 1917 Abdul Mulok telah tamat mempelajari silat Lintau daripada datuknya cuma dalam tempohmasa tujuh hari sahaja.

Pada tahun 1928 ketika berusia 25 tahun Haji Mulok telah berhijrah ke Pulau Pinang besama rakan rakannya yang kemudian ke Bagan Serai , Kuala Kangsar dan Teluk Intan sebelum menetap di Kampong Cangkat Larang Batu Gajah Perak serta mendirikan rumahtangga dengan Aminah binti Hassan.

Pada tahun 1965 Haji Mulok telah menziarahi Makam Panglima Lidah Hitam di Kampong Parit Sakai Laut Muar Johor (kini dibawah jagaan Muzium Negara).

Tuan Haji Mulok adalah tokoh dan pengasas Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintau Malaysia pada tahun 1975. Pada tahun 1972 sahaja jumlah murid yang mempelajari Panca Indra Seni Silat Lintau adalah melebihi 10 ribu orang (rujuk Akhbar Berita Harian edisi ahad 11/5/1988).

Tuan Haji Abdul Muluk telah meninggal dunia ketika berusia 79 tahun, pada 4hb Mei 1982 bersamaan hari selasa jam 10.50 malam (10 Rejab 1402 Hijrah) di Hospital Besar Ipoh, kerana mengalami penyakit peparu berair. Jenazah Alahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kampong Seri Rahmat Cangkat Larang Batu Gajah Perak (Al Fatehah).

Sumber : sini

Panglima Lidah Hitam

Pengasas Seni Silat Lintau yang pertama adalah Tengku Nanrinci (Bendahara Sakti) lahir pada tahun 1662 daripada naungan Pepatih Nan Sebatang Kampong Lintau Indonesia.

Putera sulong baginda adalah Baginda Tengku Zaharuddin Shah @ Syed Bondu Kandiong ia itu yang lebih terkenal sebagai Panglima Lidah Hitam yang di lahirkan pada tahun 1683 di Padang Pariman minangkabau Sumetra. Beliau adalah pengasas Seni Silat Lintau di Tanah Melayu. Panglima Lidah Hitam telah meninggal dunia pada tahun 1724 yang telah disemadikan di Kampong Parit Sakai Laut Muar, Johor ketika berusia 41 tahun.

Sumber : sini

Cikgu Rahman Hassan

Dimaklumkan Cikgu Rahman Hassan dari Nibong Tebal meninggal dunia kemarin 20 Ogos 2011 lebih kurang 3.00 ptg. Kemalangan jalan raya. InsyaAllah akan dikebumikan jam 11.00 pagi hari ini di Nibong Tebal.

Mari kita doakan agar rohnya dirahmati dan diampuni, apatah lagi pada bulan yang penuh berkat ini. Sumber di sini.

Tok Guru Ariffin Saad

Persatuan ini diasas dan ditubuhkan oleh tok guru ARIFFIN BIN SAAD pada tahun 1984. beliau berasal dari JALAN HAJI MURSHID, PEKAN DARAT, BUTTERWORTH, PULAU PINANG. tok guru ARIFFIN BIN SAAD adalah YANG DIPERTUA PERSATUAN dan juga sebagai guru utama. pada tahun 1985 beliau telah meninggal dunia

sumber - sini

Imam Hj Mansur

Beliau adalah salah seorang wira tidak didendang yang sempat saya bertemu pada tahun-tahun penghujung sebelum beliau 'pergi', seingat saya dalam awal tahun 90'an. Ketika itu, kami (saya, Cikgu Ramli, Abang Jo, Abang Din, Azam) mahu membeli peralatan gendang silat. Ketika itu, beliau masih sihat dan boleh bercerita panjang. Selain itu, beliau juga merupakan guru yang mengajar Allahyarham Pak Teh Cha untuk bergendang dan membuat gendang.Tempatnya juga di Batu Kurau, Perak.
Allahyarham Imam Haji Mansur (lebih dikenali sebagai Pak Ngah Mansur)
Kredit gambar dri FB Guru Alzahari 

Ketika itu saya masih baru belajar dan hanya mendengar sahaja perbualan mereka. Tapi sempat juga melihat beliau bergendang dan berceloteh tentang orang bermain gendang ketika itu. Selain dari merupakan guru gendang, pembuat gendang, beliau juga merupakan salah seorang Guru Gayung Fatani yang dikenali ramai hinggalah kini, namanya disebut-sebut (al-fatehah). 

Kenangan Pak Ngah (bergendang) ketika majlis bersilat di UM, awal tahun 1990. 
Bersama Allahyarham Guru Utama PSGFM, 
Tuan Haji Anuar Wahab (serunai) (al-fatehah).

 Selain dari itu, tidak banyak yang saya ketahui tentang beliau, hanya tahu beliau guru bermain gendang disamping seorang guru silat, serta juga imam. Sekiranya ada sesiapa yang mengenali beliau semasa hayatnya (dari konteks bergendang, sudi-sudilah berkongsi di sini). Mudah-mudahan akan ada pengganti beliau nanti, pandai bertukang gendang, bergendang dan bersilat. 
Sumber di sini.

Tn Guru Hj. Anuar bin Abdul Wahab

Guru Utama PSGFM 

Sumber gambar : sini

Maklumat Guru Utama Pertama – Anuar bin Abdul Wahab (1945-2009)

Tn.Hj.Anuar Abd.Wahab AMN mula melibatkan diri dalam silat sejak tahun 1957. Pada tahun 1976 beliau diangkat secara rasmi sebagai Guru Utama PSGFM dengan persetujuan para Guru Tua yang mewakili kumpulan peringkat negeri, mereka ialah En.Embung Abdullah (Selangor), Tn.Hj.Imam Mansor Ismail (Perak), Tn,Hj,Mohamad Ali (Kedah) dan Tn.Hj.Ramli Syeikh Abd.Rahman (anak pengasas perguruan).

Kerjasama para Guru Tua menjadikan beliau mahir dalam selok belok rahsia perguruan ini dan akhirnya beliau berjaya membangun dan mengembangkan perguruan ini diperingkat Malaysia dan antarabangsa.

Beliau dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor (23hb.12.1945). Mendapat pendidikan pertama di Sekolah Melayu Sabak Bernam, Sekolah Menengah Kebangsaan Sabak Bernam dan Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur.

Memiliki pendidikan Diploma Pengajian Islam (UKM), Sarjana Muda Kepujian (USM) dan Sarjana (UKM). Beliau telah membawa beberapa kejayaan kepada PSGFM antaranya seperti - baca selanjutnya di sini
 

Bapak Khalid bin Ibrahim

Pada 26hb March 2011 Bapak Khalid telah kembali ke rahmatullah pada jam 4 pagi, di Hospital Putrajaya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Bapak Khalid. Al-Fatihah...

Sumber - sini

Pak Muslim Haji Nordin

Pak Muslim Haji Nordin,Guru Utama Silat Kalimah Amin telah meninggal dunia pada 18 Januari 2009. Jenazah beliau telah dikebumikan pada pagi semalam di Nilai,Negeri Sembilan.

sumber - sini

Hulubalang Tambun

Hulubalang Tambun ataupun Pok Hitam Tambun adalah lagenda sejarah daerah Dungun.Beliau adalah hulubalang ternama yg terkenal di Negeri Terengganu, Pahang , Kelantan dan Johor. Sebelum ini Dungun.Net telah menceritakan mengenai keturunan Tambun membuka daerah Dungun. Dalam artikel kali ini,Dungun.Net telah diberikan kebenaran utk menulis kisah2 kehandalan Hulubalang Tambun utk tatapan pembaca.

Tok Tambun diberikan kebenaran oleh Sultan Zainal Abidin ke 3 utk menjaga keamanan daerah Dungun. Jadi apabila berlakunya sesuatu perkara di daerah Dungun, Tok Tambun akan dipanggil utk menjaga kedamaian. Beliau bukanlah pemerintah, bukan juga ketua kampung. Tetapi lebih kepada seorang Hulubalang dan rakan kepada Sultan Zainal Abidin ke 3, Tok Ku Paloh dan Hj. Deraman Limbong.

Pada waktu zaman penjajahan British, ramai orang orang siam yg bekerja di Dungun mencari bijih kaci. Orang² siam ni berpuak puak dan seringkali bergaduh dengan orang² Dungun. Lalu Tok Tambun dipanggil oleh penguasa utk menyelesaikan masalah tersebut. 

Orang2 siam kesemuanya berkumpul di atas bukit merusuh. Tok Tambun lalu berikhtiar dan membuat 7 buah rakit. Beliau duduk di dalam air di bawah setiap 1 rakit 1 mlm sehinggalah 7 malam berturut² di dalam air. Pada hari ke 8, beliau lambai ke arah bukit memanggil orang orang siam. Orang orang siam yg sebelum ini merusuh , terus ramai ramai turun dan duduk di atas rakit tidak membantah walaupun sepatah. Dan di hantar oleh Tok Tambun ke Kuala Dungun, di serah kepada Raja Daerah Dungun pada ketika itu ialah Penguasa Dungun.

Kejadian ini berlaku di Sungai Kuala Perlis , Hulu Dungun kawasan Pasir Raja.
Begitulah hebatnya ilmu Tok Tambun.

Sedikit profil mengenai Tok Tambun

  • Beliau mempunyai ramai adik beradik akan tetapi setakat ini yang di ingati oleh pemberi cerita hanyalah Seman Pok Teh Kasim.
  • Beliau adalah seorang nelayan.
  • Antara pengikut Tok Tambun yang dikenali adalah Tok Su Umor Bulu.
  • Mat Kilau lari dari Pahang dan menuntut ilmu dengan Tok Tambun .
  • Cicit cicit Tok Tambun sehingga kini masih menetap di Daerah Dungun. Kawasan tapak tempat tinggal Tok Tambun telah diberi nama Jalan Tambun sebagai tanda penghormatan kepada beliau.
 sila baca di sini untuk selanjutnya - klik sini

Tok Setiu

Terbitnya nama Setiu adalah berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun-tahun 1770an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan. Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke X (1875 hingga 1881). 

Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu, beliau menceritakan perihal kedatangannya dan segala pahit maung semasa dalam pelayaran.

Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda titahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai utnuk dibuat perkampungan.

Setelah meninjau kawasan-kaeasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka.

Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan. Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.

Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai Ketua di Kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.

Kekalahan Tok Itam telah menyebabkan anak buahnya menyimpan dendam dan mereka telah membuat batas sempadan dengan menanam suatu azimat. Tujuannya adalah untuk mencegah daripada kemasukan binatang-binatang daripada kampung lain. Ini jelas terbukti apabila seseorang yang hendak membawa masuk kerbau dan lembu dengan tujuan untuk membelanya ataupun kenduri kendara, binatang itu apabila melangkah saja ke garis sempadan tersebut terus mati. Peristiwa ini telah berlaku berulang-ulang kali.

Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Pekerjaan penduduk-penduduk pada masa itu hinggalah sekarang ialah bertanam padi dan menoreh getah.

Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk-penduduknya yang belajar denganya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat.. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.

Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya yang terletak di bawah sepohon Berangan. Pokok Berangan telah ditebang manakala batu nisan tidak dapak dikesan. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan semak samun.

Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kamping menamakan tempat itu sebagai SETIU hinggalah sekarang menjadi satu Daerah.

PENUTUP
Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupannya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkan oleh beliau. Hiburan seperti bersilat, Mak Yong, main gasing, belaga kerbau turut diadakan di kampungnya. 
 
Sumber : sini

Awang Kechik

POKOK SENA - Seramai 238 ahli keluarga daripada lima generasi keturunan Awang Kechik berkumpul dalam satu majlis, dekat sini, dalam usaha untuk memupuk hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Awang Kechik seorang pemimpin disegani suatu ketika dahulu di Kampung Bukit, Pokok Sena.

Beliau dipercayai anak tempatan dan mempunyai ilmu tinggi dalam bidang persilatan selain menjadi tempat rujukan penduduk kampung.

Beliau juga dikatakan berkebolehan dalam ilmu perubatan tradisional dan ilmu berkenaan turut diturunkan dari satu generasi kepada generasi baru sehingga hari ini. Selanjutnya di sini

Nordin Atan

12/08/2011 - Bekas jaguh silat olahraga negara, Nordin Atan, 39, meninggal dunia di Unit Hermatologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pukul 9.45 pagi kelmarin akibat sakit leukemia yang dihidapinya sejak empat bulan lalu.

Pemergiannya amat menyedihkan isteri, Siti Sarinah kahar, 32, dan tiga anak mereka yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun tatkala umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Allahyarham merupakan atlet silat olahraga pada era 90-an dengan memenangi Kejohanan Silat Dunia pada 1995.

Siti Sarinah berkata, suaminya sempat berpesan supaya dia menjaga anak mereka, Nurizlyana Atasha, 9, Iskandar Syafiq, 8, dan Iskandar Mukriz, 3, dengan baik dan sentiasa mengutamakan pelajaran mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dalam, Pontian di sini.

Kira-kira 300 saudara mara, kenalan dan rakan-rakan persilatan serta anak murid Allahyarham menziarahi jenazahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kerajaan di Kampung Parit Patah, dekat sini selepas Zohor pada hari yang sama. – Utusan

Sumber : sini

Ustaz Hj Hussein @ Ismail Din Gayong Limbong

Sumber gambar : sini

Ayahanda Ustaz Ismail yang cukup dikenali sebagai Haji Kedah dan Mail Limbong meninggal dunia pada 07.05.2011 dan dikebumikan pagi ini.

Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan itu telahpun dimaklumkan sebelum ini mengenai penyakit arwah dan agak tenat berada di rumah beliau di Limbong, Kedah.

Dalam perjalanan seterusnya ke Kedah, pihak kami amat berharap dapat jumpa dengan beliau sebagai perkenalan dengan seorang guru lama tetapi perancangan Allah SWT lebih baik.

Harap kegurulatihan dan pentadbiran akan terus maju di bawah peninggalan Arwah dan diteruskan dengan pewaris sedia ada.

Sesama kita doakan agar Arwah ditempatkan di tempat mereka yang soleh dan diredhai Allah SWT. Amin.
 
Sumber : sini

Pendekar Alam

Cerita ini adalah satu cerita rakyat yang hampir dilupus dek terlalu banyak cerita yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ini.Diceritakan oleh orang dahulu bahawa di suatu kampung ada satu keluarga yang terdiri dari dua beradik lelaki tinggal bersama kedua ibubapanya. Setelah kedua beradik menjelang remaja maka mulalah mereka belajar silat dari sang bapa. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan begitulah seterusnya sehingga keduanya menjelang dewasa.Pantas dan cekaplah kedua-dua berpencak hasil asuhan bapanya.

Sampai masanya sang abang telah bermohon restu dari bapa dan ibu untuk berkelana mencari guru yang lebih hebat buat memenuhi ilmu kedada.Mendengar sang bapa merestui maka sang adik pun ingin juga turut serta berkelana sambil berguru menumpang cita-cita sang abang yang ingin menjadi pendekar terhebat. Tapi si ibu keberatan yang amat untuk melepaskan putera mudanya tambah lagi tentu kesunyian apabila kedua-dua tiada.

Maka kecewalah sang adik melihat sang abang melangkah pergi lalu menanam tekat untuk berlatih sendirian untuk mengubat kekecewaan hati. Setelah ditinggal sang abang segala kerja ditanggung oleh sang adik termasuklah menjaga kerbau. Sambil menjaga kerbau milik keluarganya dia pun terlintas dikepala untuk berlatih kekuatan lalu mulalah diangkatnya seekor anak kerbau jantan setiap hari. Menambahkan lagi latihannya dia mengambil buluh yang berlubang lalu disarungkan ke ekor ibu kerbau. Kemana bergerak ekor kerbau dia melompat mengikut arahnya dan menyarungkan ekor tersebut dengan buluh.Sang adik juga ada menanam anak labu di tepi halaman rumah dan disitu dia melompat setiap pagi melepasi pokok labu itu menjalar.

Begitulah amalan yang dilakukan oleh sang adik setiap hari sehingga musim beredar berganti tahun. Tiba harinya kembalilah sang abang dari perantauan dengan girangnya untuk bertemu keluarga tambahan pula sudah menjadi pendekar terbilang. Setelah melepaskan rindu maka sang adik pun mula bertanya tentang perguruan sang abang diperantauan. Maka berceritalah sang abang akan kehebatan ilmu yang dituntutnya sehingga menjadi pendekar terbilang.

Setelah sang abang bercerita, sang adik pun memohon untuk beradu kekuatan dengan sang abang. Diajak sang abang beradu melompat pokok labu yang menjalar sejauh dua belas depa dipinggir halaman rumah. Terkejut sang abang melihat kekuatan sang adik melompat. Kemudian diajak pula si adik supaya sang abang mengangkat kerbau jantan yang dijaganya.Maka sekali lagi sang abang gagal dan terkejut melihat adiknya menatang kerbau tersebut.

Akhir sekali sang abang pula yang mencabar si adik untuk bertarung bertikam keris. Sang adik pun menyambut cabaran untuk berpencak keris,dengan menggunakan sarung keris dia menyarungkan mata keris si abang setiap kali menikam. Setiap tikaman si abang disarungkan sehingga hairanlah dia melihat kepantasan adiknya. Demikianlah hasil latihan yang dijalani oleh sang adik sehingga kemudian harinya termashorlah sang adik dengan gelaran Pendekar Alam kerana dia memperolehi kepandaian hasil berguru dengan alam iaitu pokok labu , buluh dan kerbau.

Sumber : sini

PENDEKAR MAT GUAI

Adalah telah diceritakan oleh orang-orang tua yang telah tiada suatu  kisah keperwiraan seorang pendekar dari bumi Pahang yang berlaku pada semasa pemerintahan sultan Abdul Jalil. Telah sampai perintah dari Sultan yang bersemayam di Pekan itu ke Lipis meminta dihantar seorang pendekar ke negeri Kedah atas tawaran dari Sultannya untuk menghapuskan sekumpulan lanun yang bermaharajalela dilaut dikepalai oleh seorang bergelar Panglima Hujan Panas. Diceritakan apabila tampil Panglima ini menyerang maka ketika itu juga turun hujan renyai walau hari panas terik sebagai alamatnya.

Setelah bermesyuarat Orang-Orang Besar di Lipis  demi memenuhi perintah Yang Mulia Sultan maka dipilihlah seorang pendekar untuk diutuskan ke Kedah bagi melaksanakan misi tersebut dan pendekar itu dipanggil Mat Guai.

Setelah selesai segala persiapan maka berjalanlah Mat Guai sehingga ke Kelang dan dari Kelang dia menumpang pula sebuah kapal dagang yang kebetulan ingin berdagang ke Kedah. Maka berlayarlah beliau menuju ke utara bersama kapal tersebut. Dari perbualan dengan anak-anak kapal dapatlah Mat Guai mengagak bahawa Kepala Lanun yang dicari memang selalu melanun di laut Kedah.

Setelah berhari-hari berlayar ketika hampir ke laut Kedah maka datanglah alamat kehadiran Panglima Hujan Panas. Kelihatan sebuah bajak yang dipenuhi sekumpulan lanun berkayuh menggunakan lembing mata lebar merapati kapal lalu berlompatan sekelian lanun merapati anak-anak kapal dan ketuanya serta memberikan dua pilihan , putih tulang atau putih mata. Maka sekelian anak kapal dan nakhodanya memilih untuk berputih mata yakni menyerahkan segalanya kepada lanun tersebut.

Apabila sampai pertanyaan itu kepada Mat Guai maka dia pun menjawab , seandainya kapal ini kapalku maka sanggup aku berputih tulang. Mendengar jawapan Mat Guai itu ,kepala Lanun itu pun tahu siapa Mat Guai lalu lanun-lanun mula menyerang . Setelah beberapa lama pertarungan dengan sedikit kelebihan yang dikurniakan Allah kepada Mat Guai terbunuhlah Panglima Hujan Panas. Mat Guai telah memotong bibir atas mayat Panglima Hujan Panas yang bermisaikan dawai untuk diserahkan keistana Kedah sebagai bukti.

Sumber : Sini

Guru Othman Md Arof

KUALA LUMPUR: Bapa penyanyi rock negara, Awie, meninggal dunia selepas sebulan terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana demam panas.

Othman Md Arof, 78, yang juga guru silat meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, di sini, jam 12.10 tengah malam kelmarin selepas arwah dibawa pulang dari PPUKM, petang kelmarin.

Menurut Awie, bapanya dimasukkan ke PPUKM sejak sebulan lalu selepas mengadu badan panas sebelum disahkan doktor menghidap demam panas.

“Sebulan mendapatkan rawatan di PPUKM, semalam (kelmarin) bapa meminta kami adik-beradik membawanya pulang ke rumah kerana terlalu rindukan anjung tempatnya berehat,” katanya.

Kata Awie, sebelum bapanya meninggal dunia, arwah sempat meninggalkan pesanan kepada sepupunya untuk disampaikan kepadanya supaya jangan pergi jauh.

“Saya tidak menyangka itu kata-kata terakhir arwah sebelum dia pergi, saya menganggap ini kehilangan yang saya rindui,” katanya. Katanya, bapanya bukan saja mendidik anak termasuk dirinya menjadi insan berguna malah mengajarnya ilmu mempertahankan diri.

Sumber : sini
Ada sesiapa tahu bapa Awie guru silat apa? sila emel kami di senitradisinegara@gmail.com

5 guru silat maut


Van dinaiki masuk sawah, rempuh pokok

ALOR SETAR: Lima guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan silat di majlis kenduri kahwin di Sungai Buloh, Selangor terbunuh, manakala empat lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbabas ke dalam sawah sebelum merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris di Pendang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, van yang dipandu Rashidi Ahmad, 24, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok, menyebabkan tiga penumpang termasuk bapanya, Ahmad Ismail, 60, dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra di sini, mati di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa, Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, masing-masing meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, jam 8.15 pagi dan 11.15 pagi, semalam, manakala Che Ishak Hussin, 54, yang parah di kepala dan badan dilaporkan kritikal, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB.

Tiga lagi mangsa termasuk Rashidi, Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dan Ariffin Mahazun, 56, yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Difahamkan, van membawa sembilan penumpang yang semuanya guru dan ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah itu, bertolak secara berkonvoi dari Sungai Buloh bersama sebuah kenderaan lain untuk pulang ke Kedah, jam 8.30 malam, kelmarin.

Rashidi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rela, Langgar di sini, berkata, kejadian berlaku ketika sembilan penumpang yang berada dalam van itu sedang nyenyak tidur.

Dia mendakwa ketika kejadian tidak mengantuk kerana sudah mendapatkan rehat secukupnya, termasuk berhenti di lima Hentian Rehat dan Rawat di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang perjalanan pulang berkenaan.

“Saya ternampak seekor lembu besar tiba-tiba melintas di hadapan dan terpaksa mengelak menyebabkan van berkenaan terbabas dan masuk ke dalam sawah sebelum merempuh pokok.

“Akibat rempuhan itu, saya tercampak keluar daripada van terbabit dan hanya sedar ketika berada dalam ambulans. Ketika itu, saya juga tidak mengetahui nasib penumpang lain termasuk bapa,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pemandu van dipercayai mengantuk, tetapi punca kejadian masih disiasat.

“Mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing petang ini (semalam) dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian
22 Mac 2011


Elak 'lembu besar'



ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.

Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.


ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian.

Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.


Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.


REMUK...keadaan van selepas terbabit kemalangan.

Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.


“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam.


PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.

Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang.


Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.


“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.


“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.


Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.


Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.


“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.


“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.


myMetro

22 Mac 2011


Suami tersepit

ALOR SETAR: “Saya nampak suami tersepit, manakala anak saya tercampak di tepi jalan,” kata Rokiah Abdul Hamid, 53, isteri kepada Ahmad Ismail, 60, seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, dekat sini, awal pagi semalam.

Rokiah berkata, dia menaiki kereta berasingan, manakala suami dan anaknya, Rashidi, 24, menaiki van berkenaan ketika mereka dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Kedah.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka van dinaiki suami dan anaknya bersama lapan pesilat lain sudah sampai di rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik melalui lokasi kejadian, penumpang dalam kereta dinaikinya memberitahu ternampak ada orang melambai tangan meminta tolong menyebabkan mereka berpatah balik.

“Apabila sampai di situ, saya nampak suami tersepit, manakala Rashidi pula tercampak di tepi jalan dan penumpang lain tidak sedarkan diri.

“Sebaik mendekati suami, saya dapati dia sudah tidak bernyawa, begitu juga dua penumpang lain,” katanya.

Rokiah berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan suami dalam masa yang singkat kerana suaminya seorang yang baik dan dikenali ramai kerana menjadi pengerusi persatuan silat itu sejak beberapa tahun lalu.

Jenazah Ahmad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Petani, dekat sini, petang semalam, manakala empat mangsa yang maut dituntut keluarga masing-masing selepas dibedah siasat di Jabatan Forensik HSB, semalam.

myMetro
22 Mac 2011

Pemandu van dipercayai mengantuk

ALOR SETAR: Siasatan polis mendapati pemandu van Ford Econovan yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, awal pagi semalam, dipercayai mengantuk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi, ketika dihubungi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, tetapi tidak menolak kemungkinan pemandu terbabit mengantuk.

“Kita masih menyiasat punca kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, van berkenaan dipercayai dari arah Pendang menghala ke Langgar, di sini, terbabas dan melanggar sebatang pokok menyebabkan lima penumpang di dalam van itu terbunuh, manakala seorang parah dan bakinya cedera ringan.

Pubadi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Unit Kecemasan HSB, Dr Fatahul Laham Mohamad, berkata mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil.

myMetro
22 Mac 2011

‘Nampak kawan meraung’

ALOR SETAR: “Saya cuma dengar bunyi dentuman kuat dan nampak kawan-kawan yang lain meraung kesakitan. Selepas itu saya tidak sedar dan apabila tersedar saya sudah berada di hospital,” kata Mohd Idris Mohd Senapi, 20, antara yang terselamat dalam kemalangan maut mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Deris, Pendang, awal pagi semalam.

Mohd Idris yang juga pemain gendang Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah berkata, ketika kejadian, dia tidak sedar kerana tertidur.

“Kami bertolak dari Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 6 petang selepas selesai membuat persembahan pada majlis perkahwinan di rumah saudara seorang ahli persatuan ini. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kawasan rehat dan rawat Tapah, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) untuk berhenti makan.

“Selepas setengah jam berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan balik ke Alor Setar. Saya terus tidur selepas itu kerana terlalu letih sehingga tidak menyedari kejadian berlaku,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima maut, seorang parah dan tiga lagi cedera ringan apabila van Ford Econavan dinaiki sembilan orang itu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, semalam.

Mohd Idris berkata, dia cedera di muka dan patah kaki kanan kerana tersepit di belakang tempat duduk pemandu.

myMetro
22 Mac 2011

Kehilangan besar

ALOR SETAR: “Ia satu kehilangan besar buat persatuan ini,” kata Presiden Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, Haris Fadilah, 55, ketika mengulas insiden yang mengorbankan lima guru silat selepas van yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, pagi semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedih dengan kejadian yang menimpa dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dugaan Allah.

“Saya mewakili persatuan ini merasakan satu kehilangan besar buat persatuan ini kerana kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah guru silat.

“Mereka tokoh besar dan pengasas banyak menyumbang pada seni silat di negeri Kedah. Ada antara mereka lebih 40 tahun terbabit dalam kegiatan ini. Segala jasa dan pengorbanan mereka kami kenang sampai bila-bila,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

myMetro
22 Mac 2011

Teringin ke Kuala Lumpur

POKOK SENA: “Arwah teringin sangat nak pergi Kuala Lumpur kerana sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah ke sana. Mungkin ini adalah petanda arwah akan pergi meninggalkan kami semua,” kata Rugayah, 47, anak kepada Eshak Awang Kechik, 78, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.

Beliau berkata, sehari sebelum mereka bertolak iaitu Khamis lalu, arwah bersungguh-sungguh ke ibu kota.

“Dia ada beritahu pada ibu tiri saya, Siah Shariff, 57, bahawa dia hendak sangat ke Kuala Lumpur. Kami adik beradik tak sangka ia permintaan terakhir arwah sebelum meninggalkan kami.

“Sebelum ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, malah dia kelihatan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini, semalam.

Allahyarham Eshak antara dua penumpang van yang kritikal dan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSB apabila terbabit dalam kemalangan itu.

Selepas hampir enam jam bertarung nyawa di ICU, Eshak akhirnya menghembuskan nafas pada jam 11.30 pagi di HSB.

myMetro
22 Mac 2011

Tragedi ngeri pendekar utara

ANGGOTA polis melihat keadaan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, Alor Setar hingga mengorbankan lima guru silat semalam.

ALOR SETAR - Jumlah penonton yang luar biasa ketika menyaksikan persembahan lima guru silat di sebuah majlis perkahwinan di Sungai Buloh, Selangor kelmarin rupanya menjadi petanda kesemua pendekar itu akan dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat penumpang lain cedera parah.

Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.

Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani), dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani) dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.

Kosmo
22 Mac 2011

Seorang lagi mangsa kemalangan Pendang meninggal dunia


ALOR SETAR - Seorang lagi mangsa kemalangan di Pendang awal pagi, semalam, meninggal dunia hari ini, setelah hampir 24 jam di rawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, menjadikan enam mangsa maut akibat kemalangan itu.

Che Ishak Hussin, 55, dari Kampung Tualang, Pokok Sena meninggal dunia pada pukul 2 pagi di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana mengalami pendarahan dalam otak dan patah kaki kanan.

"Semasa ayah meninggal awal pagi tadi, kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi,” kata anak sulung mangsa, Mohammad Zahir Che Ishak, 36, ketika ditemui di hospital itu hari ini.

Semalam, lima guru silat maut apabila van yang dinaiki sembilan orang terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang.

Kemalangan pada pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Buluh, Selangor selepas mengadakan persembahan silat pada majlis perkahwinan di sana. - Bernama

22 Mac 2011


‘Ayah tidak tunjuk kelakuan pelik, cuma sakit dada’

ALOR SETAR: “Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma sehari sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh, Selangor, dia ada mengadu sakit dada,” kata Mohammad Zahir, 36, anak sulung kepada Che Ishak Hussin, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada jam 2 pagi semalam.

Beliau berkata, arwah sudah lama membabitkan diri dalam persatuan Silat Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan dia adalah pemain serunai dan gendang.

“Arwah seorang peramah dan dia suka bersembang dengan kawan dalam persatuan ini, terutama bagi memantapkan seni persembahan silat di Kedah.

“Saya sangat sedih dengan kehilangannya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semasa ayah meninggal awal pagi tadi (semalam), kami sekeluarga berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Arwah meninggal disebabkan masalah pendarahan dalam otak kerana arwah memang ada penyakit jantung. Sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh pun, dia ada mengadu sakit dada,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HSB, semalam.

Che Ishak yang berasal dari Kampung Tualang, Pokok Sena, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 pagi selepas bertarung nyawa hampir 24 jam.

myMetro
23 Mac 2011

Saya hilang 6 kawan baik

ALOR SETAR: “Saya kehilangan enam kawan baik sekali gus,” kata Johari Arifin, 54, yang masih bersedih dengan berita kematian lima guru silat termasuk seorang pemain serunai dan gendang dari Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, semalam.

Beliau berkata, dia terkejut kerana semua mangsa meninggal dunia kawan baiknya yang terbabit dalam aktiviti pertunjukan silat di negeri itu.

“Saya memang mengenali semua mangsa kerana sama-sama mengadakan persembahan di merata tempat,” katanya.

myMetro
23 Mac 2011

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim



Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim yang telah dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di Kampung Lake Garden, Taiping, Perak merupakan pengasas Silat Gayong Malaysia. Bondanya bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al–Attas. Hasil perkongsian hidup dengan Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah Tambah, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Saadiah. Meor Abdul Rahman mempunyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan bondanya yang terdahulu iaitu Alin, Putih dan Hendon
Apabila meningkat remaja, keluarga Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam, Taiping. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.
  
Pendidikan silat
Beliau menuntut ilmu persilatan dengan nendanya sendiri iaitu Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, merupakan hulubalang negeri Pahang yang terkenal ketika itu kerana memiliki ramai pahlawan. Syed Zainal bin Syed Idris al – Attas, hidup sezaman dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang dan malam berbeza dengan rakan – rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut beberapa bulan sahaja seperti di Changkat Jering dan Batu Kurau.

Sejak dalam persekolahan menengah lagi, Meor Abdul Rahman sering berulang – alik ke rumah kandanya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau amat rapat dengan Hendon dan suaminya Zainal Abidin yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kota Sarang Semut sebagai seorang inspektor.
Setelah tamat persekolahan dalam tahun 1936, beliau menetap bersama kandanya, Hendon. Beliau telah dijodohkan dengan anak angkat kandanya yang bernama Che Kalsom bte. Kechik. Perkahwinan tersebut dilangsungkan di Kota Sarang Semut. Apabila kanda iparnya, Zainal Abidin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis serta dilantik sebagai Ketua Polis Daerah di Kuala Nerang, Kedah, Meor Abdul Rahman telah sama – sama berpindah dan menetap dengan kandanya di sana. Sepanjang berada di Kuala Nerang, beliau sering berkongsi hobi memburu burung dan ayam hutan dengan Pegawai Daerah Kuala Nerang iaitu Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Pada suatu hari, beliau telah keluar berburu bersama – sama kandanya Meor Abdul Abdul Aziz dan seorang sepupunya bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu di dalam hutan tersebut, beliau tersesat sehingga ke Padang Sanai. Di sana, beliau telah berkenalan dengan Pak Choh dan Tok Mek Jah, sepasang suami isteri penjual burung yang ditemui di Pekan Rabu. Atas permintaan Meor Abdul Rahman, mereka telah membawa beliau ke Mee Nam, Selatan Thailand. Ketika tiba di rumah Pak Choh di Mee Nam, beliau mandi di sungai di kawasan tersebut. Beliau mendakwa bahawa suatu lembaga yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka telah menjelma dalam mimpi beliau. Beliau diarah oleh lembaga tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak dari tidur, beliau terasa ada perubahan pada dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.

Setibanya di Taiping, beliau telah menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Meor Abdul Rahman pergi mengadap Paduka Seri Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya, beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuas hati dengan kegagahan Meor Abdul Rahman, baginda sultan menggelarkan beliau ‘ Rahman Sendo ’ dan dijadikan anak angkat baginda.[perlu rujukan] Beliau menetap bersama – sama Sultan Alang Iskandar di istana sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.

Berhijrah ke Singapura

Tidak berapa lama setelah keluar dari istana, beliau ditemani Bidin bermusafir dengan keretapi ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama Meor Abdul Rahman di Singapura ialah di Naval Base sebagai tukang pateri. Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau telah ditawar pekerjaan oleh Pengarah Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian Royal Signal Corps. Pada sebelah malamnya, beliau menambahkan pendapatan dengan bekerja sebagai seorang mekanik di jabatan yang sama.

Setelah beliau berjaya menewaskan seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn telah melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera British. Ia merupakan satu penghormatan kerana tiada seorang Melayu pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini sehingga tahun 1942. Semasa berkhidmat di Bahagian Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau telah melangsungkan perkahwinan kedua dengan anak sepupunya, Paridah bte Yusope.

Semasa pendudukan Jepun

Apabila Jepun menyerang Singapura pada bulan Februari 1942. Beliau membawa keluarganya berperahu menyeberangi laut ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong barulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah membuka gelanggang Seni Silat Gayong dengan melatih 7 orang pemuda terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun. Atas kebijaksanaan Meor Abdul Rahman, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Meor Abdul Rahman bekerja sebagai seorang kempetai. Tidak berapa lama kemudian, beliau telah berkahwin dengan Syarifah Rehan bte. Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai memenuhi hajat keluarga semata – mata. Apabila Jepun menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu dalam tahun 1945, Meor Abdul Rahman telah kembali semula ke Singapura. Setibanya di Singapura, beliau telah diundang menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong di sana.

Meor Abdul Rahman juga telah menyebarkan Silat Seni Gayong untuk menangani ancaman lanun di perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke lain – lain pulau di Indonesia. Tidak lama selepas itu, kerajaan British telah melantik beliau sebagai penghulu besar merangkumi kepulauan sekitar Pulau Sudong.

Dalam tahun 1947, Kerajaan British telah menawarkan jawatan sebagai pegawai di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Beliau ditugaskan untuk mengawasi dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti – British. Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada pejuang – pejuang kemerdekaan seperti Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh politik terkenal di Singapura. Setelah 4 bulan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, beliau memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudian beliau ditukar pula ke Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat dan kerajaan Singapura.

Meor Abdul Rahman bersara dari perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk bergiat dalam bidang perniagaan.

Dalam majlis Perdana Gayong pertama yang telah dianjurkan di Stadium Darul Aman, Kedah dalam tahun 1964, Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Silat Seni Gayong telah dititah oleh Sultan Abdul Halim Muazzam Syah, Sultan Kedah selaku Penaung Gangga Chula Sakti untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada seluruh anak – anak muda negeri Kedah.

Pada 31 hb Ogos 1967, seramai 500 orang murid Gayong telah menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke – 10 tahun kemerdekaan tanahair. Ini menandakan pengiktirafan besar pemimpin negara terhadap perjuangan dan usaha Meor Abdul Rahman. Berikutan itu, dalam tahun 1969, YAB. Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah menyertai Silat Seni Gayong dan menjalani upacara istiadat perlimau di Air Kuning, Taiping. Beliau kemudiannya telah ditabal sebagai Imam Khalifah Silat Seni Gayong Selangor. Seterusnya, ia disusuli pula oleh Tuan Syed Jamalulail, Dato’ Senu Abdul Rahman, Tan Sri Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dato’ Tengku Ahmad Rithaudeen, Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Syed Nasir Syed Ismail, Dato’ Syed Nahar Shahabudin dan ramai kerabat Di – Raja, pembesar serta kenamaan negara dan negeri.

Berpindah ke Perak

Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning, Taiping, Perak. Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman ditemani Tuan Syed Jamalulail telah berangkat ke London untuk menziarahi saudaranya di sana. Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka telah ditemui Bruce Lee, pakar senibela diri terkenal. Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Meor Abdul Rahman telah bertukar fikiran dan maklumat tentang senibela diri Melayu dan Cina dengan Bruce Lee.

Dalam tahun 1972, Dato’ Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al – Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kaslan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al – Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hari Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.

Tahun 1970 – an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan dalam Silat Seni Gayong yang dirancang sendiri oleh Dato’ Meor Abdul Rahman. Raja – raja dan para pembesar Melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bin Dato’ Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai. Murid Silat Seni Gayong pada tahun 1976 dianggarkan melebihi 150 000 orang di seluruh negara.

Tahun 1973, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyahut cabaran pengasas/sifu Jeet Kune Do iaitu Bruce Lee untuk bertarung. Dato' Meor Abdul Rahman tewas lalu melakukan suatu pukulan kuat yang diberi nama “Kipas Senandung” dari Dato’ Meor Abdul Rahman telah menyebabkan Bruce Lee melayang dan rebah. Bruce Lee meninggal beberapa hari selepas pertarungan tersebut.Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid Gayong kembali bercantum dan bersatu padu. Muda – mudi diseru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Fadzilah (waris tunggal) di Hospital Pakar, Ipoh, Perak.

Bertemu Mat Kilau

Semasa Pahlawan Mat Kilau mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Datuk Meor dan angakatanya telah "turun" ke Pulau Tawar untuk bertemu dengan pahlawan tersebut. Menurut ceritanya, Datuk Meor bertanyakan samada gayung yang dibawanya adalah sealiran dengan ilmu persilatan Mat Kilau. Mendengarkan hal tersebut, Mat Kilau mengakui ia adalah sama dengan ilmu yang dimilikinya

Sumber : sini

Long Mamat

Long Mamat memperkenalkan 'Pukulan Sendeng' setelah mempelajarinya dari bapa saudaranya di atas kapal...


Seorang Pendekar keturunan Bugis yang berasal dari Pontian, Johor. Beliaulah yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu Pukulan Sendeng di Muar pada penghujung kurun ke-19 (1885-1910 an) Long Mamat pernah merantau ke Brunei dan Kalimantan dengan menggunakan nama atau gelaran yang berlainan pada tempat-tempat yang di singgahinya. Dari mana asal Pukulan Sendeng yang di bawanya tidaklah jelas tetapi terdapat versi cerita yang berbeza. Antara ceritanya adalah seperti berikut:

  1. Long Mamat mempelajari ilmu Pukulan Sendeng dari empat orang bapa saudaranya di atas kapal. Kisah ini telah disampaikan oleh cicit Long Mamat kepada almarhum Hj Ismail.
  2. Beliau mempelajari ilmu Pukulan Sendeng dari seorang bapa saudaranya di Parit Raja, Muar setelah ditewaskan sewaktu menguji bapa saudaranya itu. Pada ketika itu, Long Mamat telah tamat berguru dengan 39 orang guru silat. Kisah ini di ceritakan oleh seorang tua di Parit Bakar kepada almarhum Hj Ismail.

Pada awal abad ke-19 (1885-1910), Long Mamat telah dijemput oleh penghulu mukim Serom ketika itu ialah Penghulu Hj Abdullah (ninda kepada YB Dato’ Abd Ghani Osman – Menteri Besar Johor sekarang) untuk mengajar ilmu Pukulan Sendeng di Serom. Seramai 5 orang pendekar telah terpilih setelah diadakan satu pertandingan di Serom. Kelima-lima orang itu ialah Taman Dagang, Pak Unggal Khalil (adik Taman Dagang), Hj Mohd Arif Shamsu, Pak Habib dan Naib Nalang.

Selain di Serom, Long Mamat juga mempunyai ramai murid terutama di kawasan Parit Bakar hingga ke Parit Raja, Muar. Salah seorang anak murid beliau yang dapat di kesan ialah Haji Baba bin Makruf (1901-1984). Anak cucu beliau di Pontian, Johor pula mengembangkan silat Kuntau Sendeng yang di terajui oleh cucunya iaitu Penghulu Zakaria Kasim.
 
Sumber : Di sini

Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad

  Pengasas PSSCM, Ustaz Hanafi bin Ahmad

Walaupun Ustaz Hanafi dilahirkan dari keluarga petani, namun kepentingan pada pelajaran amat diutamakan oleh bapanya dan beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Gunung bagi mendapatkan pendidikan awal sehingga darjah empat. Kemudian beliau dihantar pula ke sekolah agama iaitu di Pondok Alor Gonchah dan Guar Chempedak.

Ketika berusia 18 tahun, Ustaz Hanafi telah memulakan penghidupannya sebagai perantau sambil menjual ubat-ubatan bersama-sama dengan Pak Ngah Sharif yang bukan sahaja sebagai guru kepadanya tetapi juga bapa angkatnya. Pak Ngah Sharif yang berasal dari Tokai, Kedah telah membimbing beliau mengenali dunia manusia yang bermacam ragam. Ustaz Hanafi semasa hayatnya juga pernah menjadi guru agama dan penyelia zakat.


Ustaz Hanafi yang berjiwa besar, telah membabitkan dirinya dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu. Beliau sebagai seorang aktivis dalam Pertubuhan Seberkas Kedah, pernah berjuang bersama-sama rakan seangkatannya termasuk Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Datuk Senu Abd. Rahman serta Mashor Mohammad (abang kepada Datuk Seri Dr. Mahathir).

Setelah hampir dua dekad beliau berkecimpung di arena politik, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak aktif dalam politik tanah air memandangkan beberapa perubahan telah melanda suasana politik ketika itu. Memadailah beliau menimba pengalaman bersama dengan politik tanah air ketika itu.

Menyingkap semula zaman mudanya, Hanafi banyak menghabiskan masanya bagi menyelidiki dua bidang yang digemarinya iaitu mencari silat Melayu yang benar-benar asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri dan mendalami bidang kerohanian Islam khasnya ilmu tauhid. Keadaan ini telah memberi peluang kepadanya bagi mempelajari pelbagai jenis silat Melayu dan menemui beberapa tokoh agama termasuk Kiai Fathulah Suhaimi dan Tuan Haji Abdullah Fahim.

Setelah mengkaji dan meneliti secara mendalam segala ilmu yang ditimba, Ustaz Hanafi akhirnya membuat keputusan mahu mengembangkan Silat Cekak kepada masyarakat Melayu. Menerusi gerakan silat inilah Ustaz Hanafi berhasrat mendidik anak-anak bangsa agar cintakan kebudayaan warisan dan menyalurkan segala pengalaman serta ilmunya di bidang kemasyarakatan.

Di dalam silat, Ustaz Hanafi telah berjasa dengan melahirkan semula Silat Cekak, jika bukan dengan inisiatifnya, mungkin Silat Cekak akan luput dan tidak dikenali. Dalam usahanya mengembangkan silat Melayu, Ustaz Hanafi sedar bahawa beberapa sikap dan tradisi yang perlu diubahsuai bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Perkara pokok yang diberi perhatian ialah mengubah corak hubungan antara guru dan penuntut.

Ustaz Hanafi Yakin kepada hubungan dua hala dan sebab itu rasa hormat dari penuntut bukan hanya sekadar kerana ia guru, tetapi kerana sifat dan tindak tanduknya yang boleh memenangi hati murid. Ustaz Hanafi beranggapan, sikap takut kepada guru dan mengikut apa sahaja kehendak guru di kalangan penuntut akan merugikan sesuatu pergerakkan silat itu.

Cara penyampaian silat kepada masyarakat umum turut diubahsuai. Ustaz Hanafi berjaya mengatur sistem pelajaran dan corak pengajaran Silat Cekak secara saintifik dengan menggunakan kebijaksanaan mental dan kaedah yang bersistematik. Setiap mata pelajaran diajar secara tertib dan teratur dengan menerangkan matlamat dan sebab-sebab sesuatu pelajaran Silat Cekak.

Ustaz Hanafi juga tidak ketinggalan untuk melakukan pengubahsuaian dalam majlis-majlis penerangan. Penekanan yang diberikan kepada sesuatu majlis penerangan ialah memberitahu masyarakat betapa silat masih sesuai untuk diamalkan dan cara bagaimana konsep Silat Cekak dilakukan. Bagi memastikan kelicinan setiap perubahan dilakukan itu, beliau telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap. 


Sumber : Laman Web PSSCM