
Van dinaiki masuk sawah, rempuh pokok
ALOR SETAR: Lima guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat
persembahan silat di majlis kenduri kahwin di Sungai Buloh, Selangor
terbunuh, manakala empat lagi cedera selepas van yang mereka naiki
terbabas ke dalam sawah sebelum merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris
di Pendang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, van yang dipandu Rashidi Ahmad, 24,
dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok,
menyebabkan tiga penumpang termasuk bapanya, Ahmad Ismail, 60, dari Alor
Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan
Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra di sini, mati di tempat
kejadian.
Dua lagi mangsa, Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak
Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, masing-masing
meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah
(HSB) di sini, jam 8.15 pagi dan 11.15 pagi, semalam, manakala Che Ishak
Hussin, 54, yang parah di kepala dan badan dilaporkan kritikal, masih
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB.
Tiga lagi mangsa termasuk Rashidi, Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dan
Ariffin Mahazun, 56, yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit
luar.
Difahamkan, van membawa sembilan penumpang yang semuanya guru dan ahli
Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah itu, bertolak secara
berkonvoi dari Sungai Buloh bersama sebuah kenderaan lain untuk pulang
ke Kedah, jam 8.30 malam, kelmarin.
Rashidi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rela, Langgar di sini,
berkata, kejadian berlaku ketika sembilan penumpang yang berada dalam
van itu sedang nyenyak tidur.
Dia mendakwa ketika kejadian tidak mengantuk kerana sudah mendapatkan
rehat secukupnya, termasuk berhenti di lima Hentian Rehat dan Rawat di
Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang perjalanan pulang berkenaan.
“Saya ternampak seekor lembu besar tiba-tiba melintas di hadapan dan
terpaksa mengelak menyebabkan van berkenaan terbabas dan masuk ke dalam
sawah sebelum merempuh pokok.
“Akibat rempuhan itu, saya tercampak keluar daripada van terbabit dan
hanya sedar ketika berada dalam ambulans. Ketika itu, saya juga tidak
mengetahui nasib penumpang lain termasuk bapa,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten
Superintendan T Pubadi ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati
pemandu van dipercayai mengantuk, tetapi punca kejadian masih disiasat.
“Mayat mangsa dibawa ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli
keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing petang ini (semalam)
dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan
Jalan 1987,” katanya.
Berita Harian
22 Mac 2011
Elak 'lembu besar'
ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas
secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad,
pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat
di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.
Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang
dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis
perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh,
Selangor, kelmarin.
ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.
Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah
ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang
maut di tempat kejadian.
Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.
Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78,
dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan
11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di
sini.
REMUK...keadaan van selepas terbabit kemalangan.
Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat
sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin,
54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van
dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.
“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya
berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk
penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana
tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela,
Langgar, dekat sini, semalam.
PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.
Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.
Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain
berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan
kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari
arah Pendang.
Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang
perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat
Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.
“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit
Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya
duduk di meja lain.
“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan
sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya
berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai
termasuk ayah,” katanya.
Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik
ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa
kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu
sebaik berada di bahu jalan.
Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat
itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa
ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.
“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada
sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam
dan awal pagi.
“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip
mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,”
katanya.
myMetro
22 Mac 2011
Suami tersepit
ALOR SETAR: “Saya nampak suami tersepit, manakala anak saya tercampak di
tepi jalan,” kata Rokiah Abdul Hamid, 53, isteri kepada Ahmad Ismail,
60, seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Titi
Haji Idris, Pendang, dekat sini, awal pagi semalam.
Rokiah berkata, dia menaiki kereta berasingan, manakala suami dan
anaknya, Rashidi, 24, menaiki van berkenaan ketika mereka dalam
perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Kedah.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangka van dinaiki suami dan anaknya bersama lapan pesilat lain sudah sampai di rumah.
Bagaimanapun, katanya, sebaik melalui lokasi kejadian, penumpang dalam
kereta dinaikinya memberitahu ternampak ada orang melambai tangan
meminta tolong menyebabkan mereka berpatah balik.
“Apabila sampai di situ, saya nampak suami tersepit, manakala Rashidi
pula tercampak di tepi jalan dan penumpang lain tidak sedarkan diri.
“Sebaik mendekati suami, saya dapati dia sudah tidak bernyawa, begitu juga dua penumpang lain,” katanya.
Rokiah berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan
suami dalam masa yang singkat kerana suaminya seorang yang baik dan
dikenali ramai kerana menjadi pengerusi persatuan silat itu sejak
beberapa tahun lalu.
Jenazah Ahmad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang
Petani, dekat sini, petang semalam, manakala empat mangsa yang maut
dituntut keluarga masing-masing selepas dibedah siasat di Jabatan
Forensik HSB, semalam.
myMetro
22 Mac 2011
Pemandu van dipercayai mengantuk
ALOR SETAR: Siasatan polis mendapati pemandu van Ford Econovan yang
terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan lima guru silat di Jalan
Titi Haji Idris, Pendang, awal pagi semalam, dipercayai mengantuk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan T Pubadi,
ketika dihubungi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, tetapi
tidak menolak kemungkinan pemandu terbabit mengantuk.
“Kita masih menyiasat punca kejadian itu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, van berkenaan dipercayai
dari arah Pendang menghala ke Langgar, di sini, terbabas dan melanggar
sebatang pokok menyebabkan lima penumpang di dalam van itu terbunuh,
manakala seorang parah dan bakinya cedera ringan.
Pubadi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli
keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing, semalam dan kes
disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Unit Kecemasan HSB, Dr Fatahul Laham
Mohamad, berkata mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil.
myMetro
22 Mac 2011
‘Nampak kawan meraung’
ALOR SETAR: “Saya cuma dengar bunyi dentuman kuat dan nampak kawan-kawan
yang lain meraung kesakitan. Selepas itu saya tidak sedar dan apabila
tersedar saya sudah berada di hospital,” kata Mohd Idris Mohd Senapi,
20, antara yang terselamat dalam kemalangan maut mengorbankan lima guru
silat di Jalan Titi Haji Deris, Pendang, awal pagi semalam.
Mohd Idris yang juga pemain gendang Persatuan Persilatan dan
Pergendangan Negeri Kedah berkata, ketika kejadian, dia tidak sedar
kerana tertidur.
“Kami bertolak dari Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 6 petang
selepas selesai membuat persembahan pada majlis perkahwinan di rumah
saudara seorang ahli persatuan ini. Dalam perjalanan pulang, kami
singgah di kawasan rehat dan rawat Tapah, Projek Lebuhraya Utara-Selatan
(Plus) untuk berhenti makan.
“Selepas setengah jam berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan balik
ke Alor Setar. Saya terus tidur selepas itu kerana terlalu letih
sehingga tidak menyedari kejadian berlaku,” katanya yang ditemui di Unit
Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, lima maut, seorang parah
dan tiga lagi cedera ringan apabila van Ford Econavan dinaiki sembilan
orang itu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang,
semalam.
Mohd Idris berkata, dia cedera di muka dan patah kaki kanan kerana tersepit di belakang tempat duduk pemandu.
myMetro
22 Mac 2011
Kehilangan besar
ALOR SETAR: “Ia satu kehilangan besar buat persatuan ini,” kata Presiden
Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah, Haris Fadilah, 55,
ketika mengulas insiden yang mengorbankan lima guru silat selepas van
yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji
Idris, Pendang, pagi semalam.
Beliau berkata, pihaknya sedih dengan kejadian yang menimpa dan berharap keluarga mangsa dapat bersabar dugaan Allah.
“Saya mewakili persatuan ini merasakan satu kehilangan besar buat
persatuan ini kerana kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah guru
silat.
“Mereka tokoh besar dan pengasas banyak menyumbang pada seni silat di
negeri Kedah. Ada antara mereka lebih 40 tahun terbabit dalam kegiatan
ini. Segala jasa dan pengorbanan mereka kami kenang sampai bila-bila,”
katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),
di sini, semalam.
myMetro
22 Mac 2011
Teringin ke Kuala Lumpur
POKOK SENA: “Arwah teringin sangat nak pergi Kuala Lumpur kerana
sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah ke sana. Mungkin ini adalah
petanda arwah akan pergi meninggalkan kami semua,” kata Rugayah, 47,
anak kepada Eshak Awang Kechik, 78, yang meninggal dunia di Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, semalam.
Beliau berkata, sehari sebelum mereka bertolak iaitu Khamis lalu, arwah bersungguh-sungguh ke ibu kota.
“Dia ada beritahu pada ibu tiri saya, Siah Shariff, 57, bahawa dia
hendak sangat ke Kuala Lumpur. Kami adik beradik tak sangka ia
permintaan terakhir arwah sebelum meninggalkan kami.
“Sebelum ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, malah
dia kelihatan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan
Islam Kampung Tualang, di sini, semalam.
Allahyarham Eshak antara dua penumpang van yang kritikal dan dimasukkan
di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSB apabila terbabit dalam kemalangan itu.
Selepas hampir enam jam bertarung nyawa di ICU, Eshak akhirnya menghembuskan nafas pada jam 11.30 pagi di HSB.
myMetro
22 Mac 2011
Tragedi ngeri pendekar utara

ANGGOTA
polis melihat keadaan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan di
Jalan Titi Haji Idris, Pendang, Alor Setar hingga mengorbankan lima guru
silat semalam.
ALOR SETAR - Jumlah penonton yang luar biasa ketika menyaksikan
persembahan lima guru silat di sebuah majlis perkahwinan di Sungai
Buloh, Selangor kelmarin rupanya menjadi petanda kesemua pendekar itu
akan dijemput ajal dalam kemalangan jalan raya semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku apabila sebuah van yang membawa
sembilan penumpang termasuk guru silat berkenaan terbabas lalu melanggar
sebatang pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini. Empat
penumpang lain cedera parah.
Difahamkan, kesemua mangsa daripada Persatuan Persilatan dan
Pergendangan Silat Kedah. Mereka dalam perjalanan pulang ke Pokok Sena.
Mereka yang maut ialah Ahmad Ismail, 65, (guru silat Melayu Pattani),
dari Alor Rela, Langgar; Juhari Darus, 65, (guru silat Gayung Pattani)
dari Kampung Paya, Kodiang, Jitra dan Jumaat @ Saad Mat Akil, 62, (guru
silat Tari Segelek) dari Kampung Manggol, Malau, Jitra.
Kosmo
22 Mac 2011
Seorang lagi mangsa kemalangan Pendang meninggal dunia

ALOR SETAR - Seorang lagi mangsa kemalangan di Pendang awal pagi,
semalam, meninggal dunia hari ini, setelah hampir 24 jam di rawat di
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, menjadikan enam mangsa maut
akibat kemalangan itu.
Che Ishak Hussin, 55, dari Kampung Tualang, Pokok Sena meninggal dunia
pada pukul 2 pagi di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana
mengalami pendarahan dalam otak dan patah kaki kanan.
"Semasa ayah meninggal awal pagi tadi, kami sekeluarga berada di sisinya
dan kami reda dengan ketentuan Ilahi,” kata anak sulung mangsa,
Mohammad Zahir Che Ishak, 36, ketika ditemui di hospital itu hari ini.
Semalam, lima guru silat maut apabila van yang dinaiki sembilan orang
terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang.
Kemalangan pada pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mereka dalam
perjalanan pulang dari Sungai Buluh, Selangor selepas mengadakan
persembahan silat pada majlis perkahwinan di sana. - Bernama
22 Mac 2011
‘Ayah tidak tunjuk kelakuan pelik, cuma sakit dada’
ALOR SETAR: “Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma
sehari sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh, Selangor, dia ada mengadu
sakit dada,” kata Mohammad Zahir, 36, anak sulung kepada Che Ishak
Hussin, 55, yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU)
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), pada jam 2 pagi semalam.
Beliau berkata, arwah sudah lama membabitkan diri dalam persatuan Silat
Rela Bakti Alor Rela, Langgar dan dia adalah pemain serunai dan gendang.
“Arwah seorang peramah dan dia suka bersembang dengan kawan dalam
persatuan ini, terutama bagi memantapkan seni persembahan silat di
Kedah.
“Saya sangat sedih dengan kehilangannya. Bagaimanapun, saya bersyukur
kerana semasa ayah meninggal awal pagi tadi (semalam), kami sekeluarga
berada di sisinya dan kami reda dengan ketentuan Ilahi.
“Arwah meninggal disebabkan masalah pendarahan dalam otak kerana arwah
memang ada penyakit jantung. Sebelum dia bertolak ke Sungai Buloh pun,
dia ada mengadu sakit dada,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HSB,
semalam.
Che Ishak yang berasal dari Kampung Tualang, Pokok Sena, menghembuskan
nafas terakhir kira-kira jam 2 pagi selepas bertarung nyawa hampir 24
jam.
myMetro
23 Mac 2011
Saya hilang 6 kawan baik
ALOR SETAR: “Saya kehilangan enam kawan baik sekali gus,” kata Johari
Arifin, 54, yang masih bersedih dengan berita kematian lima guru silat
termasuk seorang pemain serunai dan gendang dari Persatuan Persilatan
dan Pergendangan Negeri Kedah, semalam.
Beliau berkata, dia terkejut kerana semua mangsa meninggal dunia kawan
baiknya yang terbabit dalam aktiviti pertunjukan silat di negeri itu.
“Saya memang mengenali semua mangsa kerana sama-sama mengadakan persembahan di merata tempat,” katanya.
myMetro
23 Mac 2011